Dulu, Kini, Selamanya Coca Cola

0
3848

“Saya tidak tahu mengapa dan ia mungkin kelihatan aneh bagi mereka di luar sana, tetapi sejak saya muda, saya selalu terpesona dan begitu obses dengan semua benda yang berwarna merah dan putih,” 

   Abd Ghani Abd Rahim, 50, merupakan seorang peminat tegar dan sangat setia kepada pasukan Arsenal dalam Liga Primier Inggeris, yang sudah tentu memakai jersi berwarna merah dan putih apabila mereka bermain di Stadium Emirates.

dsc_0773
Kini Ghani memiliki lebih 1000 koleksi barangan keluaran Coca-Cola pelbagai jenis tin, botol, poster dan iklan daripada pelbagai negara diabadikan di dalam bilik khas di kediamannya di Taman Bukit Pasir, Batu Pahat.

  “Saya juga mengumpul koleksi permainan kenderaan Bomba dan Penyelamat, sebahagian besar yang berwarna merah dan putih serta pada masa yang sama basikal saya juga berwarna merah dan putih.

  ‘Bukti’ terbesar yang saya begitu obses dengan warna merah dan putih adalah koleksi minuman berkabonat Coca-Cola yang berwarna putih seperti botol, tin dan produk keluaran khas daripada Coca-Cola, kata bapa kepada empat orang anak itu.

  Menurut Ghani, sudah tentu warna merah dan putih adalah warna korporat produk syarikat gergasi minuman ringan Amerika yang berpangkalan di Atlanta, Georgia itu.

  “Saya sudah mengumpul koleksi Coca-Cola sejak berumur 20an, pada ketika itu saya diberikan dua biji cawan Coca-Cola daripada ibu saudara saya apabila saya membantu beliau menjalankan perniagaan di kantin sekolah selepas saya habis waktu belajar.

  “Semasa saya menuntut di Institut Teknologi Mara Shah Alam yang kini lebih dikenali sebagai Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam bidang seni dan reka bentuk, saya mendapati pensyarah sangat gemar terhadap iklan Coca-Cola dan saya sentiasa menjadikan mereka sebagai sumber rujukan kerana hasil seni mereka yang sangat berkualiti, katanya.

  Dengan peluang yang sebegitu, ianya membantu menyemarakkan semangat Ghani untuk lebih obses dan menanam minat dengan jenama produk minuman ikonik itu dengan mengumpulkan memoribilia Coca-Cola sejak tahun 1995 selepas dia mula bekerja dalam bidang peruncitan.

dsc_0746
Antara koleksi Coca-Cola yang dimiliki Ghani pada tahun 90-an

  “Sebagai seorang yang terlibat dengan bidang peruncitan, saya sering bertemu dengan pengedar Coca-Cola yang akan memaklumkan kepada saya promosi terkini atau kempen yang dijalankan oleh syarikat berkenaan.

  “Mereka yang mengetahui saya mempunyai hobi dan tertarik dengan jenama Coca-Cola itu, kadang-kadang mereka akan memberikan saya cenderahati barangan Coca-Cola itu untuk menambah koleksi saya, kata Ghani yang sangat obses dengan produk minuman itu.

  Menurut Ghani, keluarga dan kawan-kawannya juga sedar akan hobi yang dia minati dan setiap kali mereka pergi ke luar negara, mereka akan membeli satu tin atau botol Coca-Cola untuk saya sebagai cenderahati.

  “Ia bukan lah satu hobi yang mahal kerana saya menerima banyak barangan Coca-Cola sebagai cenderahati atau hadiah daripada rakan-rakan yang melancong ke luar negara atau membuat pertukaran dengan rakan-rakan pengumpul. Kini saya mempunyai lebih 1000 koleksi barangan keluaran Coca-Cola, kebanyakannya tin, botol, poster dan iklan daripada pelbagai negara.

  “Saya juga mempunyai rakan-rakan daripada seluruh negara dan kebanyakan pengumpul atau mereka yang mempunyai hobi yang sama dengan saya, mereka sanggup datang ke rumah saya untuk melihat koleksi produk Coca-Cola yang saya ada, serta ada kalanya mereka juga berkongsi cerita mengenai produk Coca-Cola sambil membuat pertukaran barang koleksi yang sedia ada, katanya.

dsc_0757
Deretan botol kaca, botol aluminium dan botol plastik Coca_Cola daripada seluruh negara yang dimiliki Ghani.

 

  Tambah Ghani, perkara yang paling berharga adalah satu botol Coca-Cola edisi terhad yang dikeluarkan oleh Syarikat Coca-Cola pada tahun 1970-an sempena memperingati pencapaian jurulatih bola sepak Amerika dan pada ketika itu hanya 1000 botol yang seumpama itu dikeluarkan.

  “Saya perolehi botol berkenaan daripada seorang lelaki di Atlanta, Georgia, pada ketika itu kami membuat pertukaran untuk botol Coca-Cola dan Fanta yang dikeluarkan di Malaysia. Sebelum memberikan saya botol berkenaan, dia mengingatkan saya untuk tidak sesekali menjual botol itu.

 “Lelaki dari Atlanta itu berpesan sedemikian kerana saya cukup bertuah kerana saya memiliki botol keluaran khas dan hanya 1000 biji botol sahaja yang terdapat di dunia ini dan saya adalah salah seorang yang memilikinya, kata Ghani yang begitu teruja menceritakan kenangan manisnya itu.

  Menurutnya, terdapat dua atau tiga pengumpul Coca-Cola di Batu Pahat dan mereka sering bertemu untuk ‘mengagumi’ koleksi mereka yang lain. Jika salah seorang daripada mereka mempunyai koleksi barangan Coca-Cola yang lebih, mereka biasanya akan memberikannya sesama kami.

  “Pada tahun 2000, ada beberapa orang bertandang ke rumah saya untuk menawar koleksi tin dan botol yang saya miliki. Salah seorang daripada mereka yang ingin membuka restoran menawarkan saya RM3,000 untuk memiliki barangan berkenaan, tetapi saya menolak dengan cara baik kerana saya menganggap hobi dan koleksi barangan Coca-Cola yang saya miliki itu adalah sesuatu yang tidak ternilai dan terlalu bermakna bagi saya.

dsc_0762
Antara koleksi Coca-Cola yang “tidak ternilai’ yang di miliki Ghani.

  “Keluarga saya sangat memahami akan hobi saya yang sangat meminati iaitu barangan daripada Coca-Cola dan mereka menyokong penuh hobi saya. Dalam masa yang sama, empat anak-anak saya juga bertindak sebagai penjaga koleksi saya setiap kali saya tiada di rumah, kata Ghani ketika ditemui di rumahnya di Taman Bukit Pasir, Batu Pahat.

  Tambah Ghani, reka bentuk kegemarannya ialah tin aluminium keluaran khas yang diperkenalkan oleh syarikat Coca-Cola sempena acara Sukan Olimpik, Piala Euro, musim perayaan dan tragedi kapal terbang MH370, yang dihasilkan di China.

dsc_0766
Tin Cola-Cola yang tertera nama Ghani dan juga merupakan peminat tegar ‘The Gunner’.

 

  “Saya sangat sayang akan koleksi saya kerana ianya memberikan saya lebih ramai rakan baru daripada pelbagai lapisan masyarakat daripada seluruh negara dan mengukuhkan persahabatan yang sedia ada.

  “Selepas pulang daripada melancong ke luar negara, rakan-rakan saya sering singgah ke rumah saya untuk memberikan barangan Coca-Cola yang saya pesan untuk membelinya dan ada antara mereka memberikan kejutan menghadiahkan produk-produk keluaran Coca-Cola berkenaan sebagai tanda pengukuhan persahabatan kami, katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here