Ikutkan hati, biar saya sendiri ke Mekah bawa balik isteri

0
770

​”Jika ikutkan rasa hati saya macam nak pergi ke Mekah sendiri untuk bertemu dan membawa balik isteri saya. Suami mana tak risau bila isteri sendiri menghadapi masalah,”-Haron Rashid, 70.

  

 Menurut Haron, tindakan drastiknya itu bagaimanapun ditenangkan adik iparnya, Ab Latif Mohd Nor, 62, yang memujuk dan memintanya bertenang, 

  Selain isterinya Rosnah Ariffin, 61, isteri Ab Latif, Ruhayah, 56, turut terkandas.

  Katanya, isteri dan dan kumpulan jemaah 87 orang dari Batu Pahat itu, sepatutnya pulang pada 23 Disember lalu, tetapi dia diberitahu yang mereka tidak dapat pulang berikutan kegagalan pihak agensi yang menguruskan umrah terbabit gagal menyediakan penerbangan pulang ke tanah air.

“Saya berharap agar pihak yang berkaitan dapat membawa pulang isteri saya yang sepatutnya kini sudah berada di sisi saya. Sejak kami berumah tangga ini kali pertama kami terpisah lama.

“Dan dalam masa yang sama ini juga kali pertama isteri saya ‘terkandas’ untuk pulang setelah beberapa kali mengerjakan umrah, selain umrah sebelum ini saya tidak ketinggalan bersama dengannya,” katanya ketika ditemui MyBP di kediamannya di Kampung Parit Kangkung, Bukit Pasir.

Tambahnya, sebaik mengetahui yang isterinya terkandas di Jeddah, dia tidak putus-putus untuk menunaikan solat hajat, selain berdoa agar isterinya bersama adik iparnya selamat pulang bertemu ahli keluarganya di sini.

Sementara itu, menurut Rosnah ketika dihubungi melalui telefon, menyatakan mereka telah dua kali ke lapangan terbang, namun kedua-duanya dimaklumkan tiada kapal terbang akibat mengalami kerosakan.

  Katanya, setalah hampir seminggu terkandas tidak dapat pulang, dia menyatakan belum ada perkhabaran yang tepat semua jemaah yang terkandas ini pulang, namun berharap ianya akan berlaku secepat yang mungkin.

Sementara itu, Pengarah Operasi Syarikat al-Fajr Travel and Tours Sdn Bhd, Rashid Sarbini berkata, mengesahkan kelewatan jemaah pulang disebabkan kerosakan enjin pesawat yang dikendalikan oleh Mega Maldives Airlines pada 26 Dis lalu.

Katanya, pihaknya berharap agar para jemaah bersabar dan memberi sedikit masa bagi syarikat penerbangan membaiki pesawat yang sepatutnya membawa pulang para jemaah, yang dijangkakan pada 1 atau 2 Januari 2017.

“Pihak kami turut mencari alternatif lain seperti mencari pesawat dan penerbangan lain seperti Saudi Airlines bagi membawa pulang jemaah umrah, yang kebanyakannya dari Batu Pahat, secepat mungkin.

“Masalah berpunca dari kerosakan pesawat Mega Maldives akibat masalah enjin. Pesawat itu sepatutnya membawa pulang jemaah kami dari Jeddah Isnin lepas (26 Dis) dan juga jemaah lain dari syarikat lain,” katanya

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here