Jemaah Umrah Batu Pahat Terkandas, Syarikat Al-Fajr Travel & Tours Cari Alternatif Lain

0
1216

JOHOR BAHRU, 30 Dis (Bernama) Syarikat Al Fajr Travel and Tours Sdn Bhd, yang menguruskan 87 jemaah umrah yang dikatakan terkandas di Mekah sejak lima hari lepas, mengesahkan kelewatan jemaah pulang disebabkan kerosakan enjin pesawat yang dikendalikan oleh Mega Maldives Airlines pada 26 Dis lalu.

 

Pengurus Operasinya Rashid Sarbini berkata pihaknya berharap agar para jemaah bersabar dan memberi sedikit masa bagi syarikat penerbangan membaiki pesawat yang sepatutnya membawa pulang para jemaah.

 

Selain itu, pihaknya juga turut mencari alternatif lain seperti mencari pesawat dan penerbangan lain seperti Saudi Airlines bagi membawa pulang jemaah umrah, yang kebanyakannya dari Batu Pahat, secepat mungkin.

 

“Masalah berpunca dari kerosakan pesawat Mega Maldives akibat masalah enjin. Pesawat itu sepatutnya membawa pulang jemaah kami dari Jeddah Isnin lepas (26 Dis) dan juga jemaah lain dari syarikat lain.

dscn1725
Gambar Hiasan – Nizhomul Islam

Pihak mereka sudah maklumkan yang kerosakan itu akan mengambil masa selama lima hingga 10 hari untuk dibaiki,” kata beliau ketika dihubungi di sini hari ini.

 

Rashid berkata buat tempoh ini juga, para jemaah yang terlibat telah dimaklumkan serta diberi penginapan oleh syarikat penerbangan serta makan dan minum dibiayai oleh Al Fajr Travel and Tours.

 

Mengikut perancangan terkini, jemaah dijangka pulang paling awal 1 Jan atau 2 Jan ini, sekiranya masalah pesawat dapat diselesaikan secepat mungkin.

 

“Memang menjadi tanggungjawab kami untuk membawa pulang jemaah jadi kami harap jemaah dan keluarga di sini juga diharapkan banyak-banyak bersabar,” katanya.

 

Berkenaan dengan tindakan yang mungkin dikenakan ke atas jemaah kerana tinggal di Jeddah melebihi tempoh masa visa yang dibenarkan, beliau berkata para jemaah tidak perlu risau memandangkan pihak syarikat telahpun memaklumkan permasalahan kepada muasasah yang menguruskan jemaad di sana dan juga Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi.

 

“Tiada tindakan yang akan dikenakan kepada jemaah, jadi tidak perlu risau. Kalau ada tindakan pun, ke atas kami (syarikat). Tetapi dalam kes ini, kami dah maklumkan kepada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi, mereka juga sudah maklum, jadi tidak timbul langsung mengenai tindakan kecuali ada jemaah yang secara sengaja tinggal melebihi tempoh yang ditetapkan,” katanya lagi.

 

Semalam, seramai 87 jemaah dari Batu Pahat dilaporkan terkandas di Makkah berikutan agensi pengurusan umrah mereka gagal menguruskan jadual penerbangan pulang seperti ditetapkan dan berita mengenainya mendapat perhatian Pihak Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here