Buat baik dibalas baik

0
7356

 Pelajar SMK Dato Onn Batu Pahat yang tular selepas mengawal lampu isyarat tempoh hari bakal menerima anugerah penghargaan daripada beberapa pihak termasuk sekolahnya.

  Hari ini Pengetuanya, Fauzan Sukimi berbesar hati memberi penghargaan kepada adik Muhammad Syameel Mad Daud, dari tingkatan 4 Topaz.

  Malah Mybp difahamkan remaja terbabit juga bakal menerima penghargaan daripada pihak Polis.

 “Saya tak sangka gambar saya cuba membantu menyelesaikan kesesakan jalan raya di persimpangan jalan akibat lampu isyarat terputus bekalan elektrik itu menjadi tular di media sosial terutamanya di laman Facebook,” katanya.

Muhammad Syameel berkata dia terkejut gambar dan video nya yang sedang mengawal keadaan lalu lintas yang sesak akibat lampu isyarat yang tidak berfungsi menjadi tular di laman sosial.

  “Masa kejadian berkenaan,saya baru sahaja pulang daripada aktiviti kokurikulum di sekolah pada waktu petang, apabila sampai di satu persimpangan lampu isyarat saya mendapati lalu lintas di situ menjadi sesak.

  “Tiba-tiba hati saya terdetik untuk membantu menyelesaikan masalah kesesakan berkenaan dengan meletakkan motosikal saya di bahu jalan dan terus membantu melancarkan laluan di persimpangan jalan berkenaan,” katanya.


  Menurut Syameel, pada mulanya dia berasa amat gementar untuk turun daripada motosikal dan cuba membantu menyelesaikan kesesakan jalan berkenaan dan risau jika keselamatannya di tengah jalan raya terbabit.

  “Walaupun risau dan gementar dengan keadaan keselamatan saya di tengah jalan raya terbabit saya tetap bernekad untuk membantu keadaan lalu lintas dipersimpangan jalan terbabit yang semakin sesak akibat lampu isyarat yang tidak berfungsi.

  “Niat saya ketika itu ialah semata-mata untuk membantu orang ramai yang menggunakan jalan raya di persimpangan lampu isyarat di tengah-tengah pusat bandar ini, ” katanya. 


  Syameel berkata selepas 15 minit dia cuba membantu menyelesaikan kesesakan di persimpangan lampu isyarat terbabit akhirnya pihak polis trafik datang membantu menyelesaikan kesesakan terbabit.

  “Selepas pihak polis trafik sampai ke tempat kejadian, mereka turut memberi amaran kepada saya kerana perbuatan begini amat bahaya dan mengancam keselamatan saya, tetapi saya sudah memohon maaf kepada pihak polis trafik dan menerima nasihat mereka agar tidak melakukannya lagi.

“Walaupun tindakan saya ketika sangat bahaya, tetapi saya rasa amat berpuas hati kerana dapat membantu orang ramai yang menggunakan jalan raya berkenaan daripada menghadapi kesesakan jalan raya, katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here