Tindakan Keras Jika Ingkar

0
778

Pihak polis di daerah ini memberikan amaran dan tidak akan berkompromi dengan mereka yang terlibat dalam aktiviti membakar dan juga menjual mercun serta bunga api.

 

Pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat juga menyatakan sehingga kini pihaknya tidak lagi mengeluarkan permit untuk membakar mercun atau bunga api dan berharap orang ramai dapat mematuhi undang-undang yang sedia ada.

 

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa berkata, dalam operasi yang dijalankan sempena musim perayaan Tahun Baharu Cina tahun ini, sehingga semalam terdapat satu tangkapan berkaitan aktiviti berkenaan.

 

Katanya, tangkapan yang dilakukan di Rengit, di sini setelah mendapati individu berkenaan memiliki mercun tanpa permit yang sah, yang bertujuan untuk bermain ketika musim perayaan ini.

Kibaran Jalur gemilang sebagai gimik pelancaran Op Selamat 10/2017 peringkat daerah Batu Pahat.

“Kita sering ingatkan memiliki atau membakar mercun tanpa permit yang sah adalah satu kesalahan, di mana mereka yang melanggarnya bolej dikenakan tindakan undang-undang dan pihak polis di daerah ini tidak akan bertolak ansur.

 

“Bagi menjamin tiada aktiviti membakar memiliki atau membakar mercun ini tanpa permit yang sah, operasi akan dilakukan secara berterusan, di mana dikhuatiri membakar mercun ini boleh memberi kemudaratan,” katanya.

 

Beliau ditemui ketika Perasmian Op Selamat 10, Sempena Perayaan Tahun Baharu Cina 2017, yang dijalankan secara bersama oleh IPD Batu Pahat dengan Persatuan Kepolisan Komuniti (CP) Batu Pahat, Lion Club Batu Pahat dan Batu Pahat Mall.

 

Hadir sama dalam perasmian program berkenaan ialah Pengerusi CP Batu Pahat, Datuk Andy Low Leong Huat dan Timbalan Pengerusi Lion Club Batu Pahat, Liow Gan Hieng.

 

Dalam pada itu, menyentuh berkaitan Op Selamat 10, pihaknya telah mengeluarkan sebanyak 230 saman dan 464 notis atas pelbagai kesalahan yang dilakukan oleh pengguana jalan raya.

 

Katanya, antara kesalahan yang sering dilakukan ialah memandu laju, memotong di garisan berkembar, tidak patuh lampu isyarat, guna lorong kecemasan, memotong barisan dan menggunakan alat telekomunikasi.

 

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa turut menyampaikan ‘Goodies Bag’ kepada pengguna jalan raya sempena pelancaran Op Selamat 10/2017 peringkat daerah Batu Pahat.

 

“Dalam Op Selamat 10 ini juga telah mencatat satu kematian dan seorang mangsa kemalangan mengalami kecederaan parah.

 

“Dalam masa yang sama dalam operasi yang sama, pihak IPD Batu Pahat akan memastikan Unit MPV dan juga Unit Rondaan Bermotosikal akan melakukan rondaan secara berterusan di kawasan ‘hotspot’

 

“Kita juga akan melakukan rondaan secara berkala di kawasan yang berisiko berlakunya kejadian jenayah seperti di bank, pajak gadai, kedai emas dan juga kawasan kilang,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here