Murid Pendidikan Khas Dirai

0
388
Seramai 43 murid Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Batu Pahat yang terdiri daripada golongan Orang Kurang Upaya (OKU) pekak bisu, masalah pembelajaran dan masalah penglihatan diraikan dalam program lawatan UMNO Bahagian Batu Pahat ke sekolah berkenaan  yang diadakan semalam.
Timbalan Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat, Zaidi Japar berkata, walaupun mereka dilahirkan tidak seperti insan normal lain, pihaknya sentiasa prihatin dengan nasib golongan itu dengan meningkatkan bantuan serta kemudahan bagi memastikan mereka menjalani kehidupan dengan selesa.
“Program lawatan yang diadakan buat julung kali ke sekolah ini adalah sebagai tanda penghargaan kami kepada murid berkenaan selain memberi peluang untuk bermesra bersama guru dan ibu bapa masing-masing.
“Murid-murid daripada aliran pendidikan khas ini perlu diberi perhatian dan pembelaan kerana mereka mempunyai keistimewaan tersendiri yang kadang kala lebih baik daripada kanak-kanak normal.
Zaidi (tengah) menyampaikan ‘goodies bag’ kepada salah seorang murid SK Pendidikan Khas Batu Pahat. Foto – MyBP

 

Menurut Zaidi, dia cukup berbangga dengan guru-guru yang mendidik murid-murid daripada golongan kurang upaya dan memberi didikan yang sama rata serta murid-murid berkenaan juga mempunyai hak untuk mendapatkan apa yang sesuai dengan fizikal dan keupayaan mereka.

 

Sementara itu, Guru Besar Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Batu Pahat, Zamrul Ahmad Jabar, berkata dengan program lawatan ini secara tidak langsung dapat menyuntik semangat dan sebagai perangsang kepada guru-guru serta murid supaya merasakan diri mereka tidak disisihkan.

 

“Walaupun murid-murid di aliran pendidikan khas ini dikategorikan sebagai murid yang mempunyai masalah tetapi pihak sekolah tidak mahu golongan ini merasa disisihkan kerana mereka juga warga sekolah ini sama seperti murid normal lain.

 

“Pihak sekolah sentiasa memberikan perhatian terhadap kebajikan murid pendidikan khas dan seterusnya menerapkan nilai-nilai kasih sayang kepada warga sekolah termasuk guru agar tidak sesekali meminggirkan murid berkenaan, katanya.

 

Zamrul berkata, pihak sekolah amat terharu dengan lawatan yang dianjurkan Biro Kebajikan UMNO Bahagian Batu Pahat kerana ianya adalah kali pertama pihak luar datang dan memberi sumbangan ke sekolah berkenaan.

 

“Timbalan Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat juga memberi sumbangan peribadi sebanyak RM2,000 sebagai penyuntik semangat bagi persediaan pihak sekolah ini menjadi tuan rumah Sukan Sekolah-Sekolah Pendidikan Khas peringkat kebangsaan bagi zon selatan, katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here