Senggarang dari buaya jadian?

0
3589

Nama Senggarang sememangnya tidak asing lagi bagi penduduk sekitar daerah Batu Pahat ini, selain merupakan sebuah pekan, ia juga terkenal dengan jualan hasil pertaniannya serta lokasi industri kecil sederhana (IKS) berasaskan makanan ringan.

 

Namun, masih tidak ramai yang mengetahui bagaimana Senggarang ini mendapat namanya yang mempunyai kaitan dengan sebuah sungai yang mengalir ‘membelah’ pekan berkenaan.

 

Kelibat reptilia ganas sering mengganggu penduduk punca nama pekan Senggarang diperolehi. Foto – Gambar Hiasan Carian Google

 

Ahli Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP), Ja’affar Hashim berkata, mengikut penduduk asal yang tinggal di kawasan itu, Senggarang ini dahulunya hanyalah sebuah perkampungan kecil.

 

Katanya yang juga mantan Adun kawasan itu, ianya mula diduduki sekitar tahun 1920-an setelah sungai yang mengalir yang kini dikenali sebagai Sungai Senggarang menjadi laluan utama kepada penduduk tempatan yang kebanyakannya bekerja sebagai nelayan.

 

“Malah kepesatan tempat berkenaan mula dirasai apabila beberapa pengkalan turut dibuka seperti di muara Sungai Senggarang, Kampung Parit Permatang, Parit Jongli, Parit Mahang, Parit Hamid dan Parit Bakong.

 

“Namun kegembiraan penduduk yang membuka kawasan baharu ini agak terganggu, apabila mereka sering ‘dikacau’ oleh seekor hidupan air yang agak ganas dan hampir setiap hari haiwan berkenaan akan muncul serta mengganggu.

 

“Haiwan terbabit yang merupakan seekor buaya berada di sungai berkenaan dipercayai sungai ini menjadi tempat pertembungan air masin dan air tawar yang merupakan tempat kegemaran buaya,” katanya ketika ditemui My Batu Pahat.

 

Mercu tanda baharu di Pekan Senggarang. Foto – My BP

 

Kawasan Sungai Senggarang ini sememangnya diakui menjadi lokasi kegemaran buaya, yang penduduk tempatan sering terjumpa sarang reptilia berkenaan yang turut menjadikannya tempat bertelur.

 

Menurut Ja’affar, buaya yang sering mengganggu itu digelar sebagai ‘Sang Garang’, sesuai dengan sifatnya yang terlalu garang berbeza dengan buaya yang lain begitu juga saiznya yang lebih besar.

 

Jelasnya, dengan nama berkenaanlah pekan Senggarang ini mendapat namanya, yang penduduk tempatan juga percaya buaya terbabit juga adalah buaya jadian daripada orang bunian yang tinggal di kawasan sekitar.

 

“Penduduk tempatan percaya yang sebelum mereka tinggal dan membuka perkampungan di situ, tempat berkenaan didiami oleh orang bunian, yang buaya terbabit merupakan jelmaan agar tidak menganggu kawasan yang didiami oleh mereka.

 

“Namun kesahihan kebenarannya tidak dapat dipastikan yang buaya terbabit adalah buaya jadian, tetapi kewujudan buaya ini memang ada yang suka mengganas menganggu penduduk dan ada yang mempercayai ianya adalah buaya tembaga.

 

“Walaupun ada sesetengah masih percaya buaya berkenaan masih wujud, tetapi sehingga hari ini kelibatnya tidak lagi kelihatan dan tidak jumpa juga bangkainya jika buaya berkenaan telah mati,” katanya.

 

Antara lokasi utama di Pekan Senggarang. Foto – My BP

 

Tambahnya, misteri di kawasan Senggarang tidak habis dengan buaya sahaja tetapi di satu kampung yang dikenali sebagai Kampung Sri Menanti turut mempunyai kisah disebaliknya yang dikaitkan dengan penempatan orang bunian.

 

“Cerita terakhir kewujudan orang bunian di sini (Sri Menanti) yang juga menjadi lokasi terakhir buaya Sang Garang ditemui, semasa pembinaan jambatan menghubungkan Parit Karjo dan Senggarang sehingga ianya terbengkalai beberapa kali yang setelah meminta izin daripada mereka (orang bunian), barulah jambatan berjaya dibina,” katanya.

 

Pantai rekreasi yang terdapat berhampiran Pekan Senggarang. Foto – My BP

 

Selain kisah buaya jadian da juga orang bunian di Senggarang, pekan ini juga terkenal dengan Pintu Gate Air yang dibina sekitar tahun 1912, yang hanya terdapat dua sahaja di negara ini, yang sama seumpamannya.

 

Malah lebih menarik kembar Gate Air yang ada ini, yang dibina oleh pihak British untuk mengelakkan kejadian banjir serta mengahalang air masin masuk ke kawasan penempatan turut dibina di Slim River, Perak.

 

Pintu Gate Air yang menjadi ikon utama di Pekan Senggarang. Foto – My BP

 

Kata Ja’affar lagi, kerana keunikan Gate Air ini, ia telah menjadi ‘trademark’ dan kemegahan Senggarang ini sendiri, yang menjadi lokasi wajib orang ramai ke kawasan berkenaan.

 

Tambahnya, bagaimanapun semasa banjir besar melanda Johor pada tahun 2006 dan 2007 yang lalu, ada cadangan untuk merobohkan Gate Air ini kerana dikatakan ia menjadi punca kepada banjir apabila air bah berkenaan lambat surut.

 

PIntu Gate Air dibina sekitar tahun 1912 yang dibina penjajah British satu ketika dahulu di Pekan Senggarang. Foto – My BP

 

“Tetapi setelah melihat nilai sejarahnya Gate Air ini tidak jadi dirobohkan, malah kini ia dijaga dan dalam masa yang sama ia termasuk dalam projek mengindahkan kawasan Sungai Senggarang.

 

“Sebelum ini semasa lawatan Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, sebanyak RM300,000 telah diperuntukkan untuk projek pengindahan kawasan sungai ini yang dipanggil Tepian Sungai Senggarang.

 

Pantai Rekreasi Sungai Lurus yang menjadi tumpuan orang ramai yang berkunjung di kawasan Senggarang. Foto – My BP

 

“Malah lebih menggembirakan kawasan yang melibatkan kawasan sungai sejauh dua kilometer ini yang melibatkan Gate Air, Kampung Parit Saidi dan Parit Bakong ini turut termasuk dalam Rancangan Kawasan Khas (RKK) MPBP,” katanya.

 

Anatar tarikan baru yang ada di Pantai Rekreasi Sungai Lurus, Senggarang. Foto – My BP

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here