Trauma lihat anak meraung digigit anjing

0
258

Ibu kanak-kanak perempuan yang cedera parah akibat digigit anjing masih trauma dan tidak dapat melupakan lagi detik ngeri apabila mereka diserang haiwan berkenaan di Taman Banang Heights, Batu Pahat, Isnin lalu.

 

Noor Fazilah Ishak, 30, berkata, ketika kejadian dia bersama anaknya, Ainin Syuhadah Syahrul Nizam, 2, dan seorang lagi anaknya, Ainul Safiya, 4, membonceng motosikal ditunggang adik lelakinya berusia 17 tahun.

 

Fazilah berkata, mereka mahu pulang ke rumah yang disewa berdekatan tempat kejadian sebelum motosikal yang dinaiki mereka gagal dikawal lalu terbabas ketika cuba mengelak sebuah lori yang sedang memunggah barang.

 

“Kami dalam perjalanan pulang daripada hospital kerana menziarahi seorang lagi adik saya yang sakit dan ketika kejadian saya memeluk Ainin Syuhadah lalu terjatuh ke dalam longkang manakala adik saya dan Ainul Safiya jatuh di bahagian kaki lima premis berkenaan.

 

“Secara tiba-tiba anjing yang diikat di situ menerkam kami mungkin kerana haiwan itu terkejut terdengar bunyi rempuhan motosikal ke pintu kedai dan terus menggigit kepala Ainin Syuhadah,” katanya ketika ditemui di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), semalam.

 

KEADAAN mangsa yang cedera parah dan masih dirawat di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), Batu Pahat. Foto : MyBP

Noor Fazilah berkata, anaknya menangis kesakitan dan meraung sekuat hati ketika anjing terbabit menggigit bahagian belakang kepala termasuk telinga kanan sehingga darah mengalir banyak.

 

“Orang ramai ada juga cuba bantu untuk lepaskan gigitan anjing itu sebelum Ainin dibawa ke hospital dan menerima beberapa jahitan di kepala serta telinga,” katanya

 

Noor Fazilah mengharapkan pengguna media sosial tidak membuat andaian sendiri mengenai video CCTV yang viral di Facebook dan ada orang ramai yang menuduh adiknya dalam pengaruh bahan terlarang.

 

“Saya kecewa bila membaca komen-komen di Facebook dan kata pemilik anjing itu tidak bertanggungjawab padahal mereka memberi kerjasama baik termasuk datang melawat Ainan di hospital semalam.

 

“Kami dah buat laporan polis dan merujuk kepada Jabatan Veterinar berkaitan haiwan itu dan tidak mahu isu ini terus diperbesarkan kerana ianya boleh diselesaikan dengan cara baik,” katanya.

 

MANGSA cedera parah di bahagian kepala akibat digigit seekor anjing. Foto : MyBP

 

Dalam rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi 1.29 saat di tempat kejadian, anjing berkenaan yang diikat di tiang premis menerkam kanak-kanak terbabit selepas motosikal mereka terbabas dan merempuh pintu kedai.

 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan dan meminta pihak berkuasa tempatan untuk melakukan pemantauan terhadap anjing-anjing liar mahupun anjing perliharaan yang dibiarkan ditempat awam.

 

Menurut Abdul wahib, kes itu disiasat di bawah Rule 10 LN 166/59 manakala kes kanak-kanak digigit anjing disiasat dibawah Seksyen 289 Kanun Keseksaan kerana cuai menyebabkan binatang peliharaan mendatangkan kecederaan dan jiika disabit kesalahan boleh dihukum penjara maksima 6 bulan dan denda tidak lebih RM2,000.00 atau kedua-duanya sekali, katanya.

 

 

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here