Hasrat terkubur

0
138

“Sebelum kejadian, arwah Irfan sangat teruja untuk bersama-sama kami sekeluarga untuk pergi ke pasar malam berdekatan dengan rumah kami, kata Norhakim Hashim, 44, bapa kepada kanak-kanak lelaki yang dilaporkan lemas di muara Sungai Nibong Laut, di sini, baru-baru ini.

Mayat Mohd Irfan Nor Hakim dilaporkan hilang pada jam 1 petang itu sebelum mayatnya ditemui pada jam 8 pagi keesokan harinya.

Menurut Norhakim, ketika kejadian, dia masih berkerja dan isterinya ada menyatakan bahawa arwah Irfan kelihatan sungguh mesra dengan adik-adiknya yang lain tidak seperti biasa.

“Arwah Irfan ketika itu kelihatan sungguh ceria dan terlalu mesra dengan memeluk dan mencium adik-adiknya di ruang tamu.

“Malah sebelum keluar rumah dia ada memesan kepada adik-adiknya supaya jangan tidur pada waktu petang kerana ingin pergi ke pasar malam nantti mahu keluar bersama saya dan isteri, katanya.

pix-2
Mayat kanak-kanak terbabit yang ditemui di tebing muara Sungai Nibong , Semerah baru-baru ini.

Menurutnya, ketika kejadian juga isteri pula sedang sibuk memasak di dapur dan tidak menyedari bahawa arwah anak sulongnya itu sudah keluar ke rumah.

“Selepas pulang daripada kerja, saya sekeluarga bersiap sedia untuk pergi ke pasar malam dan pada ketika itu arwah Irfan masih lagi tidak pulang ke rumah.

“Saya mengambil keputusan untuk pergi dahulu ke pasar malam bersama isteri dan anak-anak yang lain dan ingin membungkuskan makanan kepada arwah, tetapi selepas pulang ke rumah dia masih lagi tidak berada di rumah, katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Sarang Buaya Makmor, di sini.

Norhakim berkata, selepas itu saya terus bergegas mencari arwah dan pergi ke muara Sungai Nibong dan mendapati basikal dan pakaian arwah berada di tepi sungai terbabit.

“Saya menemui basikal dan pakaian arwah Irfan dan cuba mencari di sekitar kawasan itu dengan memanggil-manggil namanya tetapi gagal. Saya terus membuat laporan polis kerana khuatir arwah anak saya lemas di kawasan sungai itu, katanya.

Menurutnya, penduduk serta pihak bomba dan penyelamat turut membantu dalam proses pencarian arwah anaknya itu yang dikhuatiri lemas.

“Semalaman kami mencari arwah Irfan dan akhirnya dia ditemui awal pagi tadi terdampar di tebing sungai terbabit dengan keadaan kakinya tertanam di dalam lumpur,” katanya.

Menurutnya, keluarganya masih dalam keadaan sedih namun menerima takdir dan ketentuan Ilahi.

Jenazah Allahyarham Irfan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Taman Sungai Sarang Buaya Makmur, Semerah, di sini, selepas solat Zohor.

Sementara itu, Ketua Operasi Pejabat Bomba Zon Kluang , Norhisam Abd Talib berkata, mayat Mohd Irfan ditemui selepas dia dikatakan mandi di sungai berkenaan pada 1 petang.

” Pihak bomba menerima laporan daripada pihak polis berhubung kejadian itu pada jam 12.45 tengah malam sebelum enam anggota daripada Balai Bomba Jalan Mohd Khalid digegaskan ke lokasi kejadian.

“Operasi mencari dan menyelamat dijalankan pada jam 1.23 pagi sebelum mayat ditemui pada jam 8 pagi.

“Mayat terbabit ditemui kira-kira 200 meter daripada lokasi dia dikatakan hilang,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here