11 Tahun Derita Sakit Buah Pinggang Kronik

0
301

“Setelah disahkan menghidap sakit buah pinggang yang agak teruk sebelas tahun lalu, kehidupan saya berubah daripada seorang yang begitu aktif kini saya hanya menghabiskan sepenuh masa saya di rumah sahaja,” kata Norpipah Jappar, 52.

Katanya, akibat penyakit yang dihidapinya itu kini dia juga tidak mampu bergerak sendiri dan memerlukan bantuan ahli keluarganya untuk bergerak termasuklah urusan hariannya seperti membersihkan diri dan juga menukar pakaiannya

Menurutnya, akibat penyakit berkenaan juga, dia memerlukan rawatan hemodialisis sebanyak tiga kali untuk seminggu, dan kos bagi rawatan berkenaan adalah sekitar RM3,000 untuk sebulan.

“Namun mujurlah untuk rawatan hemodialisis berkenaan sebahagiannya telah ditanggung oleh pihak Baitulmal Majlis Agama Islam Johor (Maij) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

“Kini setelah saya berhenti kerja, saya tidak mempunyai pendapatan yang tetap dan sering kesempitan dalam urusan membeli keperluan harian, termasuklah barangan dapur dan sebagainya.

IMG_7682
Mohd Puad (duduk, kanan) dan Zaidi (tiga, kiri) menjenguk Norpipah yang menghidap penyakit buah pinggang yang kronik, di mana tidak lagi mempu bergerak aktif seperti sebelumnya.

 

“Saya sekarang ini menumpang kasih dengan anak, walaupun tanggungjawab menjaga seorang ibu adalah tugasan seseorang anak tetapi saya juga perlu faham yang mereka juga mempunyai tanggungan sendiri setelah berkeluarga dan saya tidak bolehlah meminta sesuka hati sahaja,” katanya ketika ditemui.

Pesakit berkenaan merupakan antara mereka yang dilawati semasa Program Ziarah Kasih, Umno Bahagian Batu Pahat yang diketuai oleh Ketuanya, Datuk Mohd Puad Zarkashi dan Timbalannya, Mohd Zaidi Japar.

Dalam program berkenaan yang dijalankan di kawasan Dun Penggaram ini, mereka telah mengadakan lawatan serta memberikan sumbangan kepada lima individu yang memerlukan seperti pesakit kronik, vateran Umno dan warga emas.

Sementara itu, menurut Mohd Puad program Ziarah Kasih ini yang merupakan cetusan idea daripada Timbalannya serta jawatankuasa Umno Bahagian, adalah bertujuan untuk membantu mereka yang memerlukan perhatian pihaknya.

Katanya, dengan mengadakan lawatan seperti ini, sekurang-kurangnya selain dapat menjenguk ia juga dapat melihat sendiri keadaan gologan berkenaan serta melihat keperluan tertentu untuk mereka.

“Walaupun kita tahu sebahagian yang kita lawati ini sudah mendapat bantuan tertentu, namun kita perlu dekati dan berjumpa dengan mereka bagi bertanyakan keperluan lain yang diperlukan.

“Dan kita akan memberikan bantuan yang sewajarnya, agar mereka ini tidak tercicir mendapat bantuan tambahan atau membantu dalam keperluan yang lain yang sangat-sangat mereka perlukan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here