Anak Jati Batu Pahat Perjuang Muzik Indie

0
1077

Apabila dengar sahaja kumpulan atau muzik indie ada sahaja masyarakat di luar sana memikirkan ianya adalah daripada muzik yang berunsurkan negatif dan membawa anak-anak muda ke arah yang tidak sihat.

 

Sehubungan dengan itu, satu kumpulan yang mahu dikenali sebagai Bising Movement tidak menunggu lama untuk terus bangkit memperjuangkan arena musik bebas atau musik indie ini untuk diterima dalam kalangan masyarakat Malaysia.

 

Bising Movement yang merupakan pergerakan bebas atau satu kumpulan yang direka sendiri dan tidak mempunyai mana-mana penaung yang berasal daripada Batu Pahat kini memperjuangkan bakat-bakat baru dalam arena muzik bebas atau lebih dikenali sebagai pengamal muzik indie yang membawa hasil karya seni nyanyian mereka dipersembahkan dengan cara dan gaya yang tersendiri di khalayak ramai.

 

Ditubuhkan pada tahun 2016, Bising Movement yang masih lagi bertatih mempunyai cita-cita besar dan bermatlamat memperjuangkan seni nyanyian yang dibawa oleh anak-anak muda daripada daerah Batu Pahat sendiri dan turut mempunyai kumpulan sokongan yang selalu bersama iaitu daripada kumpulan Brain Drain, Hormfilm, Vibe Predator dan Zey.

 

Bising Movement yang merupakan satu kumpulan yang menyediakan acara ataupun aktiviti hiburan yang berkonsepkan dan menampilkan artis-artis tempatan dan kumpulan indie kepada generasi baru cukup nekad untuk mengubah persepsi masyarakat terhadap muzik indie ini kepada lebih positif.

Indra & Aiman merupakan ‘orang kuat’ dalam muzik indie khususnya di Batu Pahat yang membawa nama Bising Movement. Foto – Indra Syahrul Waq.

 

Diterajui oleh dua orang anak jati daerah Batu Pahat sendiri, Mohamad Syahrul, 26, yang dikenali sebagai Indra serta Muhammad Nur Aiman, 21, yang juga mahu dikenali sebagai Aiman dikalangan rakan-rakan dan pengamal muzik indie di Batu Pahat.

 

Menurut Indra, matlamat utama Bising Movement ini adalah ingin mengutamakan bakat anak-anak muda yang mempunyai bakat terpendam dengan mencipta lagu berunsur sub-budaya dan membuat hasil karya mereka sendiri ( Do it Yourself- DIY) serta aktif menganjurkan aktiviti-aktiviti yang berkenaan dengan generasi anak muda trend terkini dan aktiviti acara pentas yang diberikan nama #JOMBISING.

 

Mahu Ubah Persepsi Negatif Terhadap Muzik Indie

 

“Sejak awal penglibatan saya dalam arus muzik indie pada sepuluh tahun lalu di Batu Pahat khususnya, masih tiada lagi pihak yang mahu tampil memperjuangkan muzik dan bakat tempatan di Batu Pahat sendiri.

 

“Kebanyakannya lebih menumpukan belia dan remaja untuk sesuatu acara sahaja dan ianya tidak secara menyeluruh, katanya.

 

Indra berkata, Bising Movement juga tidak mampu untuk menghalang gejala negatif di luar sana, tetapi sekurang-kurangnya apa yang dibawa Bising Movement akan mengurangkan gejala berkenaan dan cuba untuk bawa mereka ke arah aktiviti yang lebih sihat.

 

“Aktiviti yang kami rancang untuk #jombising adalah acara pentas, jualan barangan DIY atau produk jenama lokal, acara sukan ringan, acara perhimpunan kelab kereta atau kelab bermotor. Bagi acara di pentas, kami lebih menampilkan artis atau kumpulan indie yang aktif untuk melakukan persembahan.

 

“Secara tidak langsung masyarakat akan memperlihatkan bahawa Bising Movement ini adalah pergerakan yang membawa bakat atau artis-artis indie ke khalayak umum.

 

“#JOMBISING ini juga bertujuan untuk mendedahkan dan membuka mata segelintir pihak yang memandang negatif terhadap muzik indie ini. Dengan itu kami menampilkan artis atau kumpulan indie yang bersesuai untuk ditampilkan kepada khalayak umum, katanya.

 

Tambah Indra, mereka akan memberi serba sedikit pandangan kepada segelintir pihak bahawa muzik indie itu bukanlah semuanya muzik yang negatif kerana segelintir daripada mereka juga mempunyai bakat dan lagu yang lebih kurang sama seperti artis atau kumpulan popular yang ada di industri muzik kita ini.

 

“Hal sedemikian disebabkan mereka yang berbakat ini tidak mendapat peluang atau tempat terbuka untuk mereka mempersembahkan karya mereka di khalayak orang umum.

 

“Mereka hanya sering mendapat peluang membuat persembahan di acara ‘gigs underground’ bersama-sama kumpulan yang berpegang pada aliran ‘underground’ dan kumpulan yang tidak sesuai ditampilkan untuk khalayak umum.

 

“Kerana itulah mereka ini tersekat untuk dikenali oleh khalayak umum dan secara tidak langsung kerana itulah mereka lebih dianggap artis atau kumpulan indie yang tergolong dengan membawa lagu-lagu yang negatif.

Antara kumpulan band indie yang membuat persembahan dalam acara #JOMBISING yang diadakan di BP Walk baru-baru ini. Foto-Bising Movement.

 

Menurutnya, kerana itu lah mereka akan aktif untuk menganjurkan acara sedemikian di kawasan berkenaan dan mereka akan cuba mencari sokongan dan bantuan dari pihak-pihak yang berkaitan.

 

“Bagi artis dan kumpulan indie yang kami akan tampilkan ini juga mempunyai produk sendiri seperti baju,cd dan lain-lain yang akan dijual di booth yang kami sediakan untuk dibeli oleh para pengunjung yang meminati mereka dan yang menyokong karya mereka.

 

“Kami juga memberikan tumpuan kepada remaja atau anak muda untuk mereka lebih berminat dengan acara yang kami anjurkan ini disamping itu jkami akan membuka peluang kepada generasi anak muda yang mempunyai bakat dan karya sendiri untuk menyertai acara pentas kami.

 

“Tujuan ini adalah kerana kami ingin memperluaskan karya dan bakat yang ada pada generasi anak muda ini untuk mereka terus berkarya di dalam arus industri indiependent ini kerana untuk menembus industri tanah air kita bukannya mudah, katanya.

 

Sehubungan itu #JOMBISING adalah tempat yang seseuai untuk mereka memulakan dari bawah dan membiasakan diri untuk nampak lebih yakin berhadapan dengan orang ramai.

 

Bising Movement turut mendapat sokongan daripada kumpulan band indie daripada sekitar Johor dalam acara #JOMBISING yang dianjurkan. Foto-The Rudean.

 

Perlu Sokongan Masyarakat

Bising Movement mengharapkan agar ada lagi peluang untuk mereka bawakan #JOMBISING dimana-mana acara yang berkesuaian. Kepada persatuan, kelab, atau apa sahaja yang berkenaan, Bising Movement amat memerlukan sokongan dan bantuan masyarakt untuk mereka terus menjayakan acara aktiviti dengan lancar di masa akan datang.

 

“Sejujurnya kami tidak mampu untuk menganjurkan acara sendiri tanpa dibantu oleh mana-mana pihak supaya dapat menyokong usaha dan idea kami ini.

 

“Sekurang-kurangnya generasi zaman sekarang ini akan mencipta percapaian yang tinggi dan hasil yang positif untuk dijadikan contoh kepada generasi generasi yang akan datang, katanya.

 

Indra (kiri), Aiman (dua dari kanan) dan dua rakannya dalam Playmore The Band juga pernah memenangi salah satu kategori di Anugerah Lagu Johor 2016 yang merupakan satu-satunya band daripada Batu Pahat dan turut mendapat tempat ke tiga dalam pertandingan berkenaan.

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here