Alahai, Alasan Lapok

0
1420

“Kami mahu kahwin tidak lama lagi” itu antara alasan seorang lelaki berusia 20-an selepas dia dicekup bersama pasangannya di sebuah rumah tumpangan di Jalan Minyak Beku, awal pagi, semalam.

Pasangan terbabit yang pada mulanya menyatakan hubungan mereka adalah ‘adik-beradik’ angkat, akhirnya mengaku pasangan kekasih selepas penguatkuasa Jabatan Agama Islam Johor (JAINJ) mendesak untuk mereka berterus terang.


Kadi Daerah Batu Pahat, Muhammad Husni Tamrin Md Sharif berkata, pasangan berkenaan adalah antara mereka yang ditahan dalam satu operasi mencegah maksiat yang merupakan rutin mingguan pihaknya 

“Operasi berkenaan diketuai oleh Saiful Ariffin Mohd Sopah mensasarkan rumah-rumah tumpangan serta hotel-hotel bajet yang sering menjadi lokasi pasangan yang ingin melampiaskan nafsu masing-masing.

“Semasa serbuan berkenaan dilakukan, pasangan terbabit didapati berada di dalam keadaan yang mencurigakan selepas berada di dalam bilik yang sama, selain menyorok di tepi katil ketika pemeriksaan dijalankan.

“Pada mulanya mereka menyatakan pelbagai alasan untuk melepaskan diri, namun tindakan tetap dikenakan selepa mereka didapati tiada hubungan antara satu sama yang lain.

“Pasangan berkenaan dibawa ke balai polis untuk tindakan selanjutnya, selain ianya sebagai satu pengajaran untuk tidak mengulangi kesalahan sama yang telah dilakukan mereka,” katanya

Muhammad Husni berkata, pasangan berkenaan kini ditahan dan akan didakwa di bawah Seksyen 27 (1) (a) (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997.

“Pasangan terbabit juga akan dihadapkan ke mahkamah selepas siasatan selesai dilakukan berhubung kesalahan yang dilakukan itu.

“Operasi seperti ini dilakukan adalah bertujuan untuk membendung kegiatan sumbang seperti judi dan maksiat yang semakin menular di kalangan umat Islam terutama anak-anak muda semenjak akhir-akhir ini.

“Selain itu, operasi seperti ini juga akan dilakukan dengan lebih kerap dengan menumpukan pada aduan orang ramai, hotel-hotel bajet serta kawasan yang berpotensi untuk kelakuan seperti ini,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here