Belangkas Sambal Godak Sajian Eksotik

0
925
Bagi mereka yang berkunjung Senggarang, Batu Pahat, tidak lengkap jika tidak menikmati hidangan belangkas yang juga menu yang agak unik bagi kebanyakan penduduk setempat mahupun mereka yang berkunjung ke daerah ini.
Pengunjung yang bersiar-siar di Pantai Rekreasi Sungai Lurus di sini pastinya tidak rugi untuk mencuba hidangan Belangkas Sambal Godak di gerai Anjung Santai Najilah yang terletak di pesisir pantai berkenaan.

 

Belangkas adalah hidupan laut berdarah biru dan ia dicari untuk dijadikan hidangan bukan kerana isi tetapi telurnya yang berwarna kekuningan dan mempunyai rasa lemak dan kenyal lebih banyak berbanding isi yang putih seperti ketam.
Bagaimanapun, ada cara tertentu untuk menyediakan hidangan belangkas kerana haiwan ini dikatakan mempunyai toksin atau racun pada badannya yang boleh menyebabkan mabuk atau pening.
Pemilik Gerai Anjung Santai Najilah, Roazilah Roslan, 33, berkata, belangkas mesti direndam ke dalam air beras bagi menghilangkan bau hanyir.
“Hanya belangkas betina ditangkap untuk mendapatkan telurnya kemudian ianya dipotong di bahagian tengah dan kakinya ditarik keluar. Racun belangkas atau juga najisnya ada di tengah-tengah perutnya dan perlu dibuang dengan berhati-hati.
“Belangkas yang dibersihkan dipotong beberapa bahagian untuk dimasak. Ianya boleh dimasak pelbagai menu masakan seperti masak lemak cili api atau dibakar tetapi hidangan popular disediakan adalah masak sambal sebagai menu utama,” katanya.
Menurut Roazilah idea menjadikan belangkas sambal godak sebagai hidangan utama adalah hasil buah fikiran dia sendiri bersama suaminya yang mahukan kelainan kedai makan mereka.
Roazilah Roslan dan suaminya mengusahakan gerai makanan di pesisir Pantai Rekreasi Sungai Lurus, Batu Pahat. Foto – MyBP

 

“Alhamdulillah percubaan nekad kami berjaya apabila belangkas sambal godak mendapat permintaan sangat menggalakkan daripada pelanggan yang berkunjung ke kedai makan kami.
“Meskipun menggunakan bahan asli, harga kami tawarkan sangat berpatutan iaitu hanya RM22.00 satu hidangan belangkas sambal godak untuk dua hingga tiga orang, katanya.
Kedai makan yang terletak kira-kira 20 kilometer dari pusat bandar itu juga menyediakan hidangan lain yang mendapat permintaan tinggi pelanggan seperti kerang goreng sambal, mee bandung dan mee goreng.
Rozilah bersama suaminya Mohd Najib Mohd Hanafi, 35, menyediakan hidangan belangkas sejak tahun lalu berikutan permintaan tinggi dalam kalangan penduduk setempat termasuk pengunjung setempat dan mereka yang datang daripada luar daerah dan pelancong asing.
Belangkas Sambal Godak enak dimakan bersama nasi putih panas. Foto – MyBP

 

“Bekalan belangkas diperoleh daripada ayah mertua saya sendiri yang merupakan seorang nelayan menangkap belangkas dan dengan sumber yang sedia ada ini saya tidak melepaskan peluang untuk mengkomersialkannya.
“Kebanyakan pelanggan datang daripada pengunjung setempat, malah ada yang sanggup datang dari Kuala Lumpur semata-mata ingin menikmati hidangan belangkas,” katanya.
Menurut suaminya, Mohd Najib, mereka memerlukan kira-kira 20 hingga 25 ekor belangkas pada satu-satu masa bagi memenuhi permintaan pelanggan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here