Kalaulah Jodoh, Kalau la Jodoh, Tidak kemana

0
3042

 

 

Kalau jodoh tak ke mana adinda idaman kanda

Itu nyanyian P. Ramlee & Saloma menerusi lagu petikan dari filem Anak Bapak (1968) arahan Tan Sri P. Ramlee (AMN).

Itu jugalah perumpamaan  sesuai diberikan kepada pasangan mempelai ini yang juga seorang pesara guru bersama dengan ‘bekas anak murid’, Rahmat Hassan, 83 dan Rokiah@Ramlah Abd Rahman, 77.

Difahamkan, Rahmat telah memendam perasaaan terhadap anak muridnya itu selama 60 tahun, sebelum disuntingnya kini untuk menjadi pasangan hidupnya.

Menurut Sinar Harian perasaan cinta Rahmat itu muncul ketika dia mengajar Rokiah di sekolah, namun dia terpaksa memendam perasaan berkenaan kerana ketika itu menjadi seorang guru dilarang sama sekali untuk mempunyai hubungan cinta dengan pelajarnya.

Katanya, setelah Rokiah menamatkan pelajarannya di sekolah dia terus terputus hubungan dengannya, memandangkan alat perhubungan termasuklah alat telekomunikasi tiada ketika itu.

“Semasa mengajar Rokiah, adalah beberapa kali bertemu, tetapi selepas dia melanjutkan pengajiannya ke peringkat yang lebih tinggi kami terputus hubungan dan membawa haluan masing-masing.

“Setelah beberapa tahun kemudian saya mengatahui yang dia telah mendirikan rumah tangga dengan lelaki lain, selain saya sendiri ketika itu juga akan berkahwin,” katanya ketika ditemui di majlis pernikahan dan kesyukuran mereka di Kampung Parit Jabong, Tongkang Pechah, di sini.

Dalam pada itu, lebih istimewa lagi perkahwinan berkenaan apabila jurunikah pasangan terbabit juga bekas pelajar Rahmat sendiri, iaitu Bakri Awang, yang mengajar Bakri dari tahun 1 hingga tahun 6.

Berkongsi pertemuan kembali mereka, Rahmat memberitahu mereka bertemu semula pada Januari lalu, yang pertemuan tanpa diduga itu turut berkongsi cerita hidup masing-masing.

“Setelah mengetahui yang pasangan hidup masing-masing telah meninggal dunia, akhirnya kami mengambil keputusan untuk mendirikan rumah tangga setelah beberapa kali ‘berdating’,” katanya berseloroh.

Sementara itu, menurut Rokiah, setelah beberapa kali bertemu dia terkejut dengan hasrat bekas gurunya itu, di samping turut menghadiahkan lima kuntum bunga ros, bagi menyatakan hasrat hatinya.

Katanya, tidak menolak yang dia juga terpikat dengan gurunya itu kerana sikapnya yang terlalu baik, akhirnya dia menerimanya, namun dia menyatakan perlu mendapat keizinan daripada anak-anak dan juga saudara- mara terlebih dahulu

“Setelah berbincang dengan keluarga, bermacam-macam pandangan diberikan, ada yang bersetuju dan ada juga yang tidak, namun pada saya anak-anak yang lebih penting, jika mereka bersetuju saya teruskan, dan…..Alhamdulillah, ianya seperti yang ada hari ini.

“Anak-anak kami mengizinkannya dan masing-masing boleh menerima kehadiran kami dalam keluarga mereka, selain alasan mereka turut memberikan keizinan setelah saya dan suami (Rahmat), tinggal bersendirian setelah anak-anak tinggal di rumah mereka sendiri,” katanya.

Tambah mereka berdua, pada hujung tahun ini mereka mengambil keputusan untuk ‘honeymoon’ di Mekah dan Madinah, setelah selesai menunaikan ibadah Umrah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here