Pulau Sialu berpotensi jadi tempat pelancongan

0
3535
Pulau Sialu yang terletak berhampiran dengan Minyak Beku Batu Pahat. Foto - MyBP

Terletak kira-kira lima minit perjalanan menaiki bot kecil, Pulau Sialu berhampiran Minyak Beku di sini berpotensi dimajukan sebagai kawasan pelancongan berikutan kedudukan gerografi dan sejarahnya di situ.

 

Tok Batin Orang Asli Kuala, Ahmad Karim berkata, pulau berkenaan yang pernah diduduki kira-kira 400 orang dari 60 keluarga berkenaan kini dibiar sepi dan hanya sesekali dilawati kaki pancing.

 

Beliau berkata, pulau berkenaan sebelum ini padat dengan kehadiran penduduk yang rata-ratanya berasal dari orang dagang dari Melaka dan Terengganu selain orang asli Sumatera Indonesia sebelum mereka berpindah beramai-ramai ke darat pada 1977.

 

“Dahulu pulau ini padat dan rumah dibina di atas pulau termasuk batu hampar oleh orang yang datang dan kami terpaksa berpindah pada 1977 kerana ketiadaan kemudahan asas air dan api.

 

“Selepas ditinggalkan pulau itu kini hanyalah menjadi persinggahan kaki pancing dan menjadi lubuk kepada ikan gelama. Sayangnya pulau ini dibiarkan sepi dan lebih elok ia dibangunkan sebagai kawasan pelancongan,” katanya.

 

Rumah api yang dibina pada 1913 namun tidak lagi digunakan menjadi tinggalan sejarah Pulau Sialu, berhampiran Minyak Beku Batu Pahat. Foto – MyBP

 

Beliau berkata, mendakwa terdapat kesan seolah-olah tapak kaki di batu hampar pulau berkenaan yang dipercayai ada kaitan dengan sejarah Kesultanan Melaka selain sejarah pulau berkenaan yang mendapat nama melalui perkataan sial.

 

“Menurut versi pertama, suatu ketika dahulu pulau itu menjadi tempat persembunyian lanun untuk merompak kapal pedagang sehingga golongan yang menjadi mangsa menggelarkan lokasi tersebut sebagai sial lalu.

 

Tok Batin Orang Asli Kuala, Ahmad Karim menunjukkan bekas tapak sekolah yang pernah wujud di pulau berkenaan. Foto – MyBP

 

“Versi kedua pula menyatakan, lanun yang merancang merompak kapal pedagang menjadi marah dan menyumpah seranah pulau itu sebagai sial lalu setelah penat menunggu namun tiada kapal lalu di situ,” katanya.

 

Dalam pada itu, dalam tinjauan dilakukan terdapat rumah api yang dibina pada 1913 namun tidak lagi digunakan selain lanskap batu hampar menarik untuk sesi fotografi namun dicemari dengan kehadiran botol plastik dan sampah sarap yang terperangkap.

 

Bekas tapak sekolah yang pernah wujud di pulau berkenaan. Foto – MyBP

 

Ahli Majlis Perbandaran Batu Pahat, Ja’affar Hashim berkata, pulau sialu berpotensi untuk dimajukan kerana kedudukan geografi dan nilai sejarahnya dan berharap kerjasama antara pihak kerajaan dan swasta dapat dilakukan bagi membangunkannya menjadi kawasan pelancongan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here