Pasangan suami isteri maut dirempuh pemandu kaki dadah

0
597
“Selepas ini saya pasti akan rindukan suara ayah dan juga ibu yang hampir setiap hari memberikan salam apabila mereka datang ke rumah saya,” kata Rifah Wahadi, 37.
Menurut Rifah ibu dan ayahnya itu akan datang ke kediamannya di Taman Bistari, Tongkang Pechah, di sini, untuk makan tengah hari bersama, apabila masing-masing berehat daripada kerja mereka kira-kira jam 12.30 hingga 2.00 petang.
Rifah Wahadi. Foto – MyBP
Katanya, ketika menikmati juadah yang dimasaknya itu, pelbagai perkara akan dikongsikan oleh ayahnya, Wahadi Jamos, 62 dan ibunya, Rokiah Jangi, 65, denganya yang hampir setiap hari apabila hari bekerja mereka akan berkongsi kenangan berkenaan.
“Kali terakhir kami makan bersama ialah ketika Hari Raya Aidiladha lalu, pada Jumaat lalu di kediaman ayah di Kampung Parit Lapis Bangas, Sri Medan, yang ketika itu pelbagai juadah hari raya kami nikmati bersama.
“Seperti kebiasaannya, pada hari ini (semalam) pasti ibu dan juga ayah akan ke rumah saya untuk makan tengah hari apabila mereka berehat, yang mana ayah bekerja sebagai tukang kebun di Sekolah Menengah Sains Batu Pahat.
“Manakala ibu pula bekerja sebagai tukang cuci di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat,” katanya ketika ditemui di Unit Perubatan Forensik, HSNI, semalam.
Tambahnya lagi, dia tidak menyangka yang ayah dan ibunya meninggal dunia dalam kemalangan berkenaan, ini kerana mereka baru berhubung melalui telefon pada malam sebelum kejadian.
Keadaan motosikal mangsa yang maut di tempat kejadian akibat di rempuh oleh sebuah kenderaan jenis Perodua Viva, semalam. Foto – MyBP
Katanya, ketika menerima khabar kemalangan terbabit, pada mulanya dia menyangkakan ia adalah kemalangan biasa tetapi apabila diberitahu keadaan yang sebenarnya dia hampir tidak percaya.
“Semasa kemalangan itu berlaku, ayah tidak bekerja kerana cuti tetapi dia menghantar ibu untuk bekerja dan mereka dikatakan dilanggar secara tiba-tiba oleh sebuah kereta yang berada dari arah bertentangan.
“Saya berharap jika benar pemandu berkenaan bersalah, saya bersepakat dengan ahli keluarga yang lain agar pemandu itu dikenakan tindakan undang-undang supaya ianya dapat dijadikan pengajaran kepada pemandu lain supaya dapat memandu dengan berhati-hati dan tidak mendatangkan bahaya kepada pemandu lain,” katanya.
Pasangan suami isteri berkenaan yang maut di tempat kejadian, semalam. Foto – MyBP
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa berkata, pihaknya mengesahkan kemalangan berkenaan yang berlaku di Kilometer 5, Jalan Bukit Pasir, pada Jam 7.15 pagi, semalam.
Katanya, mangsa yang menaiki motosikal jenis Yamaha Lagenda, dirempuh oleh sebuah kereta Perodua Viva dari arah bertentangan, yang dipandu oleh seorang lelaki India bersama seorang penumpang wanita Melayu.
“Ketika kejadian kereta Viva berkenaan dipandu dengan secara berbahaya sehingga memasuki laluan bertentangan dengan mangsa yang dari arah Tongkang Pechah ke Batu Pahat, sebelum merempuhnya.
“Mangsa disahkan meninggal dunia serta-merta di tempat kejadian akibat kecederaan parah dan dibawa ke HSNI untuk dokumentasi dan bedah siasat, sebelum dituntut oleh warisnya.
“Bagaimanapun pemandu kereta berkenaan yang berada di bawah pengaruh dadah itu berjaya melarikan diri dan pihak polis meminta orang ramai yang mengenali suspek supaya dapat memberikan kerjasama,” katanya.
Dalam pada itu, saksi kejadian, Mohd Hamidi Mad Tap, 41, berkata dia melihat kereta berkenaan dipandu laju dan berbahaya dengan ke arah kiri serta kanan sebelum melanggar sebuah motosikal.
Jenazah kedua-dua mangsa berkenaan dikebumikan selepas Solat Asar di Tanah Perkuburan Islam Kampung Parit Bangas, Sri Medan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here