Acu Pisau Di Leher Anak Sebelum Rompak

0
352

 

Sebuah keluarga di Kampung Parit Belemam, Mukim 6, Tongkang Pechah, Batu Pahat, Johor kerugian hampir ribuan ringgit selepas dirompak tiga penjenayah yang memecah masuk rumah mereka kira-kira 3 pagi semalam.

 

Mangsa, Faridah Arshad, 48 berkata, perompak yang memakai topeng muka dan sarung tangan bersenjatakan pisau dan parang mengikatnya sekeluarga termasuk suami dan dua anak menggunakan wayar tetikus komputer dan langsir.

 

Fatimah Arshad. Foto – MyBP

 

“Kami masa itu tengah nyenyak tidur dan saya terkejut sebaik terjaga apabila mendapati anak bongsu diacukan pisau di lehernya yang sebelum itu tidur di ruang tamu.

 

“Perompak mengatakan mereka hanya mahu duit dan saya menunjukkan tempat duit disimpan dan dalam masa sama, anak sulung yang tersedar kerana bunyi bising keluar dari biliknya.

 

“Dia menyuruh perompak keluar tetapi suspek menyuruh saya duduk kemudian mengacukan pisau ke leher saya pula. Anak bongsu dan suami, (Azlan Ayob, 49) meminta saya jangan melawan dan memberikan apa diminta,” katanya ketika ditemui di kediamannya semalam.

 

Faridah berkata, suspek dipercayai memasuki rumah kami dengan membuka pintu belakang dan melarikan diri menggunakan laluan sama.

 

Keadaan mangsa yang diikat ketika kejadian terbabit. Foto – MyBP

 

“Suspek berada di dalam rumah kami kira-kira 30 minit sebelum melarikan diri dan cubaan kami menjejaki mereka tidak berhasil kerana kelibat mereka tidak kelihatan.

 

“Kami tidak diapa-apakan kerana memberikan kerjasama kepada mereka dan suami berjaya membuka ikatan lalu bergegas ke pondok pengawal keselamatan sekolah di hadapan rumah untuk meminta pertolongan pada 3.18 pagi,” katanya.

 

Tambah Faridah, suspek bertubuh kecil dan kurus dan sederhana tinggi melarikan barangan milik mereka antaranya anting-anting emas, telefon bimbit pelbagai jenama, komputer riba, telefon tablet selain wang tunai RM3,000.

 

“Kami sekeluarga trauma dengan kejadian ini dan pertama kali mengalaminya, patutlah seminggu dua kebelakangan ini kami mendapat maklumat mengenai kes mengetuk-getuk pintu rumah orang di sekitar kawasan ini,” katanya.

 

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintendant KS Mender Singh mengesahkan polis menerima laporan berkenaan dan sedang menyiasatnya mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here